Hari itu 06.05.2025 akhirnya tiba. Setelah bertahun-tahun berjuang, berjaga malam menulis bab demi bab, meneliti data, dan menyemak semula ayat-ayat yang terasa tidak pernah sempurna, akhirnya aku melangkah ke dewan VIVA. Detik yang dinantikan oleh setiap pelajar pascasiswazah, namun juga detik yang penuh debaran. Mungkin kawalan debaran pada usia aku 59 tahun menyebabkan lebih terkawal. Mungkin juga cara aku bekerja, mungkin dan segala kemungkinan ada dalam pemikiran dalam debaran. Di luar dewan, aku menarik nafas panjang. Dalam hati aku berbisik, inilah kemuncak kepada satu perjalanan yang panjang dan berliku. Ia bukan hanya tentang aku, tetapi tentang setiap insan yang telah berkorban sepanjang aku meniti laluan ilmu ini.
Aku teringat wajah isteri yang sentiasa tersenyum walau penat. Dialah yang menjadi pendengar setia setiap kali aku mengadu lelah, yang menyediakan secawan kopi di tengah malam ketika aku menulis bab perbincangan, dan yang menenangkan hati ketika keputusan awal analisis tidak seperti yang diharapkan. Pengorbanannya tidak terucap dengan kata, tetapi terasa dalam setiap langkah perjuangan ini. Anak-anakku pula sering menjadi penghibur di kala tekanan datang bertandang. Kadang-kadang mereka menunggu aku di meja makan, walau tahu ayah mereka sibuk di depan komputer. Namun, dalam hati aku tahu, perjuangan ini juga untuk mereka supaya satu hari mereka faham bahawa menuntut ilmu memerlukan pengorbanan, dan kejayaan tidak datang begitu sahaja tanpa usaha.
Dalam perjalanan menuju ke VIVA bersama anak, Huda. Hudalah yang memulakan perjalanan ini dari urusan pendaftaran, SV, Fakulti dll. Aku termenung sambil memandu kereta. Setiap kilometer terasa panjang, seperti sedang mengimbas kembali segala ujian dan cabaran yang pernah aku hadapi. Ada saat ingin berundur, ada masa terasa hilang arah. Namun aku belajar bahawa perjuangan sebenar bukanlah tentang siapa yang cepat tiba, tetapi siapa yang tidak berhenti melangkah walau lambat. Aku memulakan pembentangan tentang kajian aku dari awal hingga ke akhir dapatan. Selesai pembentangan slide demi slide, tiba sesi panel pemeriksa mula bertanya dan terus menyoal bersilih ganti, aku menjawab dengan tenang walau gundah. Di saat itu aku sedar, segala penat dan air mata telah menjadi kekuatan. Setiap soalan yang dijawab bukan sekadar hasil bacaan atau kajian, tetapi hasil ketekunan, doa, dan kasih serta Allah tuhan yang Esa yang sentiasa mengiringi perjalanan ini.
Selesai sudah, sekali lagi debaran menanti keputusan panel, Alhamdulillah syukur "PASS" dengan pembetulan yang kecil. Terima kasih kepada penyelia Dr Haji Samsudin Wahab dan Dr Nor Aminin Khalid yang bersama sehingga ke garisan penamat, Isteri dan anak anak menanti diluar dewan menyambut berita gembira. Aku memandang langit dan tersenyum, Sekali lagi “Alhamdulillah,” bisik hatiku. Satu perjalanan panjang telah aku harungi. Satu pengorbanan besar telah aku saksikan. Semua ini bukan sekadar untuk segulung ijazah, tetapi untuk membuktikan bahawa keikhlasan, kesabaran, dan kasih keluarga mampu menjadi sayap bagi setiap perjuangan ilmu.
VIVA bukan sekadar ujian akademik, tetapi cermin kepada perjalanan hidup. Ia mengajar aku tentang erti sabar, ketabahan, dan kasih yang menjadi sumber kekuatan. Kejayaan ini bukan milik aku seorang, tetapi milik setiap insan yang setia mendoakan dan berdiri di sisiku sepanjang perjalanan ini.



No comments:
Post a Comment