Aku berdiri di tepi kawah yang luas, memandang permukaan air yang berwarna kehijauan di bawah langit biru yang jernih. Bau sulfur yang tengik menusuk hidung, namun keindahan alam di hadapan mata ini membuat aku lupa sejenak. Inilah Kawah Putih, semula jadi hasil letusan gunung berapi, kini menjadi tempat sentuhan jiwa dan raga sesiapa sahaja yang datang mencarinya. Aku mengangkat kamera dan menghala lensa ke arah jeti kayu yang terbentang di atas permukaan kawah. Aku menekan butang kamera, merakam bukan hanya pemandangan, tetapi ketenangan yang sukar digambarkan dengan kata.
Gunung di sekeliling berdiri kukuh, dengan batu yang menjadi saksi kepada kekuatan alam. Di celah kehijauan pokok yang tumbuh di lereng, aku melihat bagaimana kehidupan mampu kembali setelah bencana. Alam mengajar aku bahawa selepas letusan, selepas kehancuran, tetap akan muncul keindahan baharu. Kawah Putih bukan sekadar tempat pelancongan. Ia tempat untuk memahami erti keseimbangan. Di sini, panas dan sejuk, bau sulfur dan segarnya udara gunung, wujud dalam harmoni yang aneh tetapi indah. Begitulah juga kehidupan tidak semuanya indah dan nyaman, tetapi ada sebab dan makna.
Dalam diam, aku bersyukur dapat menyaksikan keajaiban alam ini. Ia mengingatkan aku bahawa setiap perjalanan bukan sekadar untuk melihat, tetapi untuk merasa. Alam berbicara tanpa suara, tetapi pesannya sangat jelas iaitu tenanglah, kerana di sebalik ujian, ada keindahan yang menunggu untuk dipertemukan. Kawah Putih mengajar aku tentang kekuatan dan kebangkitan. Alam yang pernah hancur kini menjadi sumber inspirasi. Dalam kehidupan, apabila kita berdepan kesukaran, ingatlah bahawa setiap letusan hati juga mampu melahirkan keindahan baharu jika kita belajar untuk melihat dengan jiwa yang tenang.


No comments:
Post a Comment