
Tahun 2010, aku masih ingat dengan jelas suasana penuh semangat ketika menyertai Jamboree 1 Belia 1 Malaysia di Wetland Putrajaya. Bersama kontinjen Daerah Kulim dan daerah lain dalam negeri Kedah, kami berkumpul sejak awal pagi, penuh dengan beg galas, uniform, dan wajah yang ceria. Hari itu terasa istimewa, bukan sekadar kerana acara besar menanti di ibu negara, tetapi kerana semangat kebersamaan yang begitu kuat antara kami semua.
Perjalanan bermula dari Kulim, berkumpul di stesen keretapi Bukit mertajam untuk ke Kuala Lumpur. Dari stesen, kami bergerak menuju KL Sentral menaiki kereta api. Setiap gerabak hampir penuh dengan ahli pengakap dari pelbagai daerah dan negeri. Suasana dalam tren sangat meriah, seakan satu keluarga besar sedang menuju ke destinasi yang sama. Ada yang menyanyi, ada yang bercerita tentang pengalaman jamboree sebelum ini, dan ada yang hanya tersenyum menikmati perjalanan.
Aku duduk di tepi tingkap, memandang keluar sambil melihat landskap berubah sedikit demi sedikit, dari landskap semak, hutan, rumah hingga ke bangunan tinggi Kuala Lumpur. Di dalam hati, ada rasa bangga dapat membawa nama daerah dan negeri ke perhimpunan besar ini. Setiap peserta mewakili bukan hanya sekolah atau daerah, tetapi semangat dan identiti anak muda yang berjiwa Malaysia. Setibanya di KL Sentral, suasananya sukar dilupakan. Dari pintu keluar hingga ke ruang legar utama, kelihatan ribuan pengakap dari seluruh negara. Uniform hijau, biru, dan coklat memenuhi setiap penjuru. Orang ramai memandang dengan penuh kagum. Suasana seolah-olah KL Sentral ditawan oleh pengakap. Di mana-mana kelihatan lencana, topi, dan bendera negeri yang berkibar. Aku tersenyum sendiri, kerana pada saat itu aku tahu bahawa semangat kepengakapan masih hidup dan terus menyatukan anak muda Malaysia.
Setibanya di Wetland Putrajaya, suasana bertukar menjadi pesta warna. Khemah didirikan di kawasan lapang, bendera negeri berkibar megah. Aku melihat pelbagai aktiviti dijalankan, daripada pertandingan lasak hingga ke sesi kepimpinan dan khidmat masyarakat. Di sini, pengakap bukan sekadar perkhemahan dan lencana, tetapi latihan membentuk jiwa.Pelbagai aktiviti kepengakapan berlangsung dengan penuh semangat. Ada lawatan sekitar Putrajaya yang membuka mata tentang keindahan dan kecekapan bandar terancang ini. Ada juga aktiviti radio amatur, di mana kami belajar berkomunikasi melalui gelombang udara, menyedarkan aku tentang pentingnya teknologi komunikasi dalam misi bantuan dan kemanusiaan. Selain itu, diadakan juga Quran Hour, yang memberikan ruang untuk muhasabah dan refleksi diri dalam suasana tenang di tengah komuniti pengakap. Malam kebudayaan pula mempamerkan pelbagai persembahan tradisional dari setiap negeri, menunjukkan keindahan kepelbagaian budaya Malaysia. Yang paling mengujakan ialah pertunjukan udara dan air. Bunyi enjin pesawat ringan dan Bot laju memecah kesunyian pagi, mengundang sorakan para peserta. Di langit dan di air, aku lihat simbol keberanian dan disiplin yang tinggi, sesuatu yang juga menjadi tunjang dalam dunia pengakap.
Jamboree 1 Belia 1 Malaysia 2010 mengajar aku tentang makna kebersamaan. Dalam dunia pengakap, tiada beza antara pangkat, negeri, atau usia. Yang ada hanyalah semangat untuk berkhidmat, belajar, dan menghargai nilai persahabatan. Kadang-kadang, perjalanan yang panjang dengan rakan seperjuangan itulah yang menjadi kenangan paling berharga dalam hidup.
No comments:
Post a Comment