Tuesday, October 28, 2025

Koleksi FDC 12 Februari 2025: Ular

 





Koleksi filateli, setiap setem dan sampul hari pertama bukan sekadar lembaran kertas, tetapi lembaran sejarah yang menyimpan kisah budaya, alam, dan nilai bangsa. FDC keluaran 12 Februari 2025 ini bertemakan “Ular”, satu tema yang jarang disentuh namun sarat makna simbolik dan keindahan seni. Aku memegang sampul ini dengan penuh kagum bukan kali ini sahaja, malah setiap kali dan setiap keluaran. Lukisan ular katam tebu kepala merah tampak berani dan elegan di atas latar keemasan, manakala ular hijau di dahan seolah-olah menatap dunia dengan tenang dan waspada. Dua watak alam yang sering disalah tafsir kerana ianya sangat ditakuti kerana bisanya, tetapi ianya penting dalam ekosistem.
Aku terfikir bahawa ular ialah simbol kehidupan yang sering dilihat dari sudut dan persepsi yang salah. Ia tidak menyerang tanpa sebab, kerana ia hanya bertindak bila terancam. Begitulah manusia, kadang-kadang disalah erti kerana tindakan yang lahir daripada keperluan untuk mempertahankan diri, bukan untuk menyakiti. Setem ini bukan sekadar penghargaan kepada hidupan liar Malaysia, tetapi peringatan bahawa setiap makhluk ciptaan Tuhan mempunyai peranan tersendiri. Ular menjadi keseimbangan alam, memburu haiwan kecil yang boleh mengganggu ekosistem. Dalam diam, ia berkhidmat kepada alam, sama seperti manusia yang bekerja dalam senyap tanpa penghargaan tetapi memberi manfaat kepada sekeliling. Aku menyimpan FDC ini sebagai koleksi peribadi, bukan semata kerana reka bentuknya yang indah, tetapi kerana falsafah yang dibawanya iaitu bahawa kecantikan dan nilai tidak selalu datang dalam bentuk yang kita sangka indah. Kadangkala, ia tersembunyi di sebalik yang kita takutkan.
Koleksi FDC “Ular” mengajar aku tentang pandangan dan persepsi. Alam semula jadi sering memberi teladan bahawa setiap makhluk dicipta bertujuan dan keseimbangan. Sama seperti kepimpinan, bukan semua yang tegas itu garang, dan bukan semua yang lembut itu lemah. Kadangkala, kebijaksanaan terletak pada kemampuan untuk diam tetapi tetap berfungsi dalam senyap, seperti ular yang mengajar kita tentang erti tenang dan waspada.





No comments:

Post a Comment