Dalam satu perjalanan, aku berhenti seketika di tepi jalan untuk merakam sesuatu yang menarik pandangan mata iaitu sebatang pepohon besar yang hampir reput. Dari jauh, batangnya kelihatan tua dan retak, namun apabila aku mendekat, aku dapat melihat ranting dan dahan yang masih kukuh berdiri. Ada daun-daun kecil yang masih tumbuh di hujung-hujung dahan, memberi tanda bahawa pohon itu masih bernyawa, masih berjuang untuk hidup. Aku mengangkat kamera, menekan butang perlahan, dan merakamnya. Dalam pandangan lensa, pohon itu tidak kelihatan lemah, tetapi unik, seolah-olah memiliki cerita panjang yang ingin diceritakan kepada sesiapa yang mahu mendengar.
Aku terdiam sejenak, memerhati dengan penuh rasa hormat. Mungkin di bawah akar pohon itu pernah bermain anak kecil, mungkin di bawah rendang daunnya pernah orang berteduh daripada panas mentari, dan mungkin juga pernah menjadi saksi kepada hujan, ribut dan kilat yang datang silih berganti. Namun ia tetap teguh berdiri namun ianya mungkin tidak segagah dulu, tetapi tetap ada, tetap memberi. Pohon ini mengingatkan aku tentang hakikat kehidupan. Dalam usia yang panjang, pasti ada saat di mana kekuatan mula berkurang, tetapi semangat untuk terus hidup tetap ada. Walaupun batangnya sudah tua dan reput, ranting yang masih bertunas itu adalah tanda harapan. Ia seolah-olah berkata, “selagi akar masih di bumi, hidup akan diteruskan.”
Bagi aku, pepohon tua ini adalah simbol keteguhan dan kebijaksanaan. Ia tidak lagi bersaing untuk tinggi atau hijau, tetapi berdiri sebagai saksi bahawa keindahan bukan hanya pada yang muda dan segar, tetapi juga pada yang bertahan dan sabar. Aku menyimpan gambar itu sebagai peringatan bahawa dalam hidup, setiap manusia akan melalui fasa-fasa seperti pepohon itu. Ada masa kita tumbuh, ada masa kita teguh, dan ada masa kita perlahan-lahan melepaskan, tetapi nilai diri tetap ada selagi jiwa masih berakar pada kebaikan. Pepohon tua yang hampir reput itu mengajar aku bahawa kehidupan tidak diukur pada rupa atau kekuatan, tetapi pada keupayaan untuk terus berdiri walau diuji masa. Ranting dan dahan yang masih ada menjadi simbol harapan bahawa dalam setiap kelemahan, masih tersisa kekuatan yang tidak kelihatan. Alam sering memberi isyarat kepada manusia bahawa dalam kejatuhan sekalipun, ada keindahan yang boleh direnungi oleh mereka yang mahu berfikir.
Thursday, March 18, 2010
Pepohon Tua Mati Namun Belum Mati
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment