
Saya berjalan perlahan, menikmati aroma kopi yang baru dibancuh. Di satu penjuru, ada sekumpulan anak muda menjual hasil seni mereka. Lukisan, fotografi, kraf tangan, semuanya hasil usaha sendiri. Saya senyum melihat keyakinan mereka. Dalam hati terdetik, beginilah permulaan setiap perjalanan besar. Ia bermula dengan berani mempamerkan bakat walaupun kecil, dengan harapan ada yang menghargai.
Hin Bus Market bukan sekadar tempat menjual barang, tetapi ruang untuk menyemai semangat. Saya lihat bagaimana seni dan kreativiti menjadi jambatan antara impian dan realiti. Di situ saya sedar, dunia ini tidak pernah kekurangan orang berbakat, cuma kadang-kadang mereka perlukan tempat untuk bersinar.
Saya duduk sebentar di bangku kayu, menikmati kopi sambil memerhati suasana. Anak-anak muda itu tidak menunggu peluang datang, mereka menciptakan peluang sendiri. Itulah kekuatan sebenar. Dalam hidup, kita tidak boleh hanya berharap. Kita mesti melangkah, walaupun kecil. Langkah kecil itu lama-lama akan membawa kita jauh. Hin Bus Market mengajar saya tentang makna keberanian untuk bermula. Seperti mereka, saya juga pernah bermula dari kosong. Sama ada dalam bidang pendidikan, kepimpinan, atau penulisan, semuanya bermula dengan langkah pertama yang penuh harapan.
Hidup ini seperti ruang seni di Hin Bus Market. Setiap orang
ada warna sendiri. Jangan takut untuk berkarya, jangan malu untuk mencuba. Yang
penting, teruslah bergerak, kerana setiap langkah yang jujur pasti akan membawa
kita kepada sesuatu yang indah.

