Hari itu langit kelihatan begitu tenang, birunya luas. Aku berdiri di bawah cahaya matahari yang lembut, memegang kamera, menanti sesuatu yang menarik pandangan. Tiba-tiba, dari kejauhan, kedengaran bunyi enjin yang mendengung halus. Aku mendongak, dan di atas sana, sebuah helikopter sedang terbang melintasi langit biru. Aku segera mengangkat kamera, memusatkan fokus, dan menekan butang rakam. Helikopter itu meluncur perlahan, berputar di udara dengan penuh kawalan. Dalam pandangan lensa, ia kelihatan kecil, namun begitu bererti. Di ruang udara yang luas itu, aku terfikir dengan sesungguhnya betapa tinggi kedudukan manusia apabila diberi peluang untuk terbang, dan betapa hebat ciptaan akal yang mampu menawan langit. Namun di sebalik keindahan itu, aku tersentuh oleh satu rasa yang sukar dijelaskan. Melihat helikopter di langit membuat aku berfikir tentang arah dan keseimbangan dalam kehidupan. Setinggi mana pun kita terbang, kita tetap perlu tahu ke mana hendak dituju, dan bagaimana mahu turun dengan selamat. Terbang tanpa arah hanya akan menjadikan kita hilang dalam birunya langit yang luas.
Helikopter itu terus bergerak, mungkin menuju ke destinasi yang tidak aku ketahui. Bunyi kipasnya yang berputar laju seperti irama ketabahan gigih berjuang melawan angin, mengekalkan kestabilan dalam tekanan. Di situ aku nampak satu pelajaran besar iaitu kestabilan datang daripada keseimbangan antara kekuatan dan kawalan. Begitulah juga dalam kepimpinan dan kehidupan bahawa kita tidak boleh hanya laju, tetapi mesti tahu bila perlu perlahan, bila perlu naik, dan bila perlu berhenti. Apabila helikopter itu semakin jauh, titiknya di langit makin kecil sehingga akhirnya hilang di sebalik cahaya matahari. Aku menurunkan kamera dan tersenyum kecil. Dalam detik yang singkat itu, aku sedar bahawa keindahan kadang datang dari hal-hal yang ringkas walau hanya sebuah helikopter melintasi langit biru, tetapi cukup untuk membuat aku berfikir tentang erti arah, keseimbangan, dan keheningan dalam perjalanan hidup. Rakaman helikopter di langit biru ini mengingatkan aku bahawa hidup bukan tentang siapa yang terbang paling tinggi, tetapi siapa yang tahu mengawal arah perjalannnya. Dalam dunia yang sering sibuk dan bergelora, ketenangan menjadi enjin utama untuk terus meluncur ke hadapan. Langit yang luas tidak pernah menolak sesiapa, tetapi hanya memberi ruang kepada mereka yang tahu bagaimana mahu menyeimbangkan angin dan arah.