Ketika ditemu bual dalam rancangan Malaysia Hari Ini (MHI) rabu, 24 Jun 2026, aku ditanya tentang perasaan berkongsi pentas konvokesyen bersama anak.Jawapanku cukup ringkas.Hari itu bukan sekadar dua orang menerima PhD. Hari itu adalah bukti bahawa ilmu mampu menyatukan dua generasi dalam sebuah perjalanan yang sama.Sebagai seorang ayah, aku sentiasa percaya bahawa pendidikan terbaik bukan hanya melalui nasihat, tetapi melalui teladan. Anak melihat sendiri bagaimana ayahnya menghadiri perbincangan dengan penyelia, menerima teguran demi teguran, membuat pembetulan tanpa jemu dan terus bangkit setiap kali menghadapi cabaran. Dalam masa yang sama, aku juga melihat kesungguhan anak yang tidak pernah mengenal erti mengalah. Di sebalik kejayaan ini, ada insan yang tidak pernah jemu mengangkat tangan memohon kepada Allah agar kami dipermudahkan segala urusan. Doa Keluarga, bimbingan penyelia, Profesor Madya TS Dr Samsudin Wahab dan Dr Nor Aminin Khalid dan bantuan rakan rakan menjadi kekuatan yang membawa kami hingga ke pentas konvokesyen.
Pengalaman ini mengajar kami bahawa usia bukanlah ukuran untuk berhenti belajar. Ilmu tidak mengenal umur. Selagi masih diberikan kesempatan, selagi itu kita mempunyai ruang untuk menambah ilmu dan menyumbang kepada masyarakat.Gelaran "Dr." bukanlah penamat sebuah perjalanan.Ia hanyalah permulaan kepada amanah yang lebih besar. Semoga kisah kecil kami menjadi inspirasi kepada setiap ibu, ayah dan anak bahawa impian boleh dikejar bersama. Tidak kira siapa yang melangkah dahulu, akhirnya kejayaan akan terasa lebih bermakna apabila dapat diraikan bersama insan yang paling kita sayangi.





No comments:
Post a Comment