Namun di sebalik beberapa minit temu bual itu, tersimpan bertahun tahun perjalanan yang penuh dengan cabaran, pengorbanan dan doa.Sebuah perjalanan yang tidak pernah dirancang. Ramai menyangka kami merancang untuk bergraduasi bersama. Hakikatnya, kami hanya berkongsi satu cita cita yang sama. Kami percaya bahawa proses menuntut ilmu tidak sepatutnya terhenti hanya kerana usia semakin meningkat atau tanggungjawab semakin bertambah.
Saya memulakan perjalanan PhD ketika ramai rakan sebaya mula menghitung tahun persaraan. Anak pula berada pada fasa membina kerjaya dan masa depannya. Walaupun berada pada tahap kehidupan yang berbeza, kami akhirnya bertemu pada destinasi yang sama. Saat yang tidak akan saya lupakan ialah Hari konvokesyen merupakan detik yang paling bermakna dalam hidup kami.
Namaku dipanggil terlebih dahulu untuk menerima Ijazah Doktor Falsafah. Ketika melangkah turun dari pentas, aku masih cuba mengawal perasaan yang bercampur baur antara syukur, lega dan bahagia. Kemudian, nama anakku pula diumumkan. Sebagai seorang ayah, tiada kebanggaan yang lebih besar daripada melihat anak sendiri melangkah ke pentas yang sama. Aku tidak melihat seorang graduan. Aku melihat seorang anak yang telah membesar dengan usaha, disiplin dan kesungguhan sehingga berjaya mencapai impiannya.
Ramai bertanya bagaimana rasanya belajar bersama anak sendiri.Jawapannya mudah.Di rumah, saya bukan ayah yang serba tahu dan anak yang sentiasa menerima. Kami ialah dua orang pelajar. Ada masanya aku membantu memperkemaskan hujah penulisan.Kami saling belajar.Kami saling mengingatkan bahawa setiap pembetulan daripada penyelia bukanlah kegagalan, tetapi sebahagian daripada proses menjadi seorang penyelidik.
Temu bual di Awani Pagi membuatkan aku berfikir tentang satu perkara. Mengapa pendidikan sering dilihat sebagai tanggungjawab individu? Bukankah lebih indah jika pendidikan menjadi budaya dalam sesebuah keluarga? Bayangkan sebuah rumah yang perbualannya dipenuhi dengan ilmu. Ibu membaca.Ayah menulis.Anak bertanya.Semua saling menyokong untuk menjadi insan yang lebih baik.
Saya percaya budaya seperti inilah yang mampu melahirkan generasi yang mencintai ilmu bukan kerana peperiksaan, tetapi kerana mereka memahami nilai sebenar ilmu. Usia bukan penghalang. Antara perkara yang sering ditanya ialah bagaimana aku masih bersemangat menyambung pengajian pada usia yang bukan lagi muda. Jawapannya sentiasa sama. Ilmu tidak pernah bertanya usia. Ilmu hanya bertanya sama ada kita masih mempunyai keinginan untuk belajar. Selagi masih mampu membaca, berfikir dan berkongsi pengalaman, selagi itulah perjalanan ilmu belum selesai. PhD bukan penamat. Ia hanyalah satu lagi permulaan.
Buat semua ibu, ayah dan anak, saya berharap kisah kecil kami memberi keyakinan kepada mereka yang masih ragu ragu untuk menyambung pengajian. Jangan tunggu keadaan menjadi sempurna. Jangan tunggu masa yang kononnya paling sesuai. Kerana masa yang paling sesuai ialah apabila kita berani memulakan langkah pertama. Tidak penting siapa yang melangkah dahulu. Yang penting, jangan berhenti melangkah.
Saya bersyukur kerana Allah mengizinkan aku dan anakku berkongsi pentas konvokesyen, berkongsi kegembiraan dan berkongsi sebuah kisah yang mungkin mampu memberikan harapan kepada orang lain. Semoga pengalaman ini menjadi bukti bahawa ilmu tidak mengenal usia, kejayaan tidak mengenal giliran, dan keluarga yang membina budaya ilmu akan meninggalkan warisan yang jauh lebih bernilai daripada harta. Kerana akhirnya, bukan gelaran "Dr." yang paling bermakna. Yang paling bermakna ialah apabila perjalanan mencari ilmu mampu menyatukan hati, mengeratkan hubungan keluarga dan menjadi inspirasi kepada orang lain untuk terus belajar sepanjang hayat.

No comments:
Post a Comment